KATA - KATA HIKMAH

JOM CHATTING!!



SOAL SELIDIK

GUEST FROM

free counters

Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.

Sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis.

Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar."

Ada ulama yang mentafsirkan ayat ini secara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar."

Walau bagaimanapun, dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, "(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar." Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.



Seterusnya, berhubung dengan firman Allah yang bermaksud, "Dan pada diri mereka sendiri," Imam Ibn Kathir berkata, "Berkemungkinan yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah apa yang terdapat dalam tubuh badan manusia yang menakjubkan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam ilmu tasyrih (anatomi). Kesemua ini akan menampakkan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta." Untuk mengenali organ serta memahami sistem yang terdapat dalam tubuh manusia, sains juga diperlukan.

Konklusi yang dibuat as-Syeikh Said Hawa berhubung ayat ini amat menarik sekali. Dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, "Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul' saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas."

Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, "Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran."

Justeru, ayat ini merupakan jambatan antara sains dan Quran. Ia mengisyaratkan bahawa penemuan-penemuan sains masa kini yang berkaitan dengan alam dan manusia akan menampakkan, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran al-Quran. Yang penting ialah kajian sains yang dilakukan mestilah merupakan suatu kajian yang sahih dan ayat al-Quran yang hendak ditafsirkan mestilah merupakan satu ayat yang boleh dikaitkan dengannya, selepas merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Justeru, penemuan-penemuan sains masa kini boleh dimanfaatkan untuk memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran.


sumber : www.iluvislam.com

0 Response to "Al Quran dan Sains"

Bagaimana untuk Menjana Kewangan Persatuan?

QURAN ONLINE

DONATION

TAFSIR AL-QURAN

Click here to Download a Quran in your Language!

FACEBOOK GROUP

WAKTU SOLAT

Prayer Times Widget by Alhabib. Salat times for any place on earth.