KATA - KATA HIKMAH

JOM CHATTING!!



SOAL SELIDIK

GUEST FROM

free counters

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."(surah al-Hujurat ayat 10)

Allah menyebutkan secara jelas di dalam ayat di atas bahawa orang-orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat adalah bersaudara. Persaudaraan yang disebutkan ini berasaskan kepada satu pegangan atau akidah yang dikongsi bersama iaitu keimanan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t.

Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam sirah Nabi s.a.w. ketika baginda berhijrah ke Madinah baginda telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di mana menurut riwayat Ibn Qayyim baginda telah mengadakan majlis mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di rumah Anas b. Malik. Ketika itu, seramai 90 orang lelaki yang hadir separuh daripadanya kaum Muhajirin dan separuh lagi kaum Ansar. Apa yang begitu menakjubkan diri ini ialah nilai persaudaraan yang begitu erat terjalin antara kaum Muhajirin dan Ansar walaupun baru dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dan berkenalan dalam masa yang singkat. Sebagai contoh, diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari r.h. bahawa Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan Abdul Rahman b. Auf dengan Sa’d b. al-Rabi’ di Madinah.Berkata Sa’d b. al-Rabi’ kepada Abdul Rahman b. Auf: “Sebenarnya aku ini orang Ansar yang terbanyak hartanya, di sini aku hendak bagi dua, isteriku pun dua kau pilihlah mana seorang dari mereka yang berkenan di hati kau, dan aku hendak ceraikan, selepas selesai iddahnya kau kahwinlah dengannya.“(Ar-Rahiqul Makhtum edisi terjemahan,al-Mubarakfuri,m/s 247-248)

Lihatlah begitu tingginya nilai persaudaraan atau ukhuwwah yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi s.a.w. Namun kini, untuk mengharapkan seperti apa yang berlaku di atas semacam mustahil. Umat Islam saban hari semakin terhakis nilai ukhuwwah Islamiah dalam diri mereka. Mereka lebih mengutamakan persaudaraan bukan berasaskan kepada akidah Islamiah sebaliknya berdasarkan bangsa, keturunan, bahasa dan negara. Mereka seolah-olah ingin kembali menuju ke zaman Arab Jahiliyyah yang mana pada masa itu semangat assabiah atau taksub kepada kabilah dan puak menjadi pegangan dan anutan.

Masalah ini berlaku pada setiap peringkat dan golongan umat Islam tidak kira sama ada mereka yang kaya, miskin tua, muda, mempunyai kuasa dan sebagainya. Nilai ukhuwwah ini terhakis dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara.

Kita sebenarnya amat berdukacita dengan berita terbaru yang melaporkan tindakan kerajaan Mesir yang membina tembok besi yang memisahkan antara Mesir dan Palestin dan telah menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat Palestin.Ke mana perginya nilai ukhuwwah Islamiah? Tak kan secebis nilai ukhuwwah Islamiah langsung tiada pada dada pihak berkuasa dan pemerintah Mesir?

Tragedi ini menunjukkan betapa parahnya nilai persaudaraan antara umat Islam pada hari ini. Kaum kuffar menjadi kuat pada hari ini sebenarnya bukan kerana kehebatan dan kekuatan mereka tetapi kerana begitu lemahnya perpaduan dan persaudaraan antara umat Islam. Sebab itulah, antara langkah untuk kita mengembalikan kekuatan umat Islam ialah mengembalikan perpaduan dan persaudaraan sesama umat Islam itu sendiri.

Setiap daripada kita tentunya mempunyai sahabat dan rakan-rakan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat ibarat mereka yang tinggal di sebuah pulau yang terbiar berseorangan. Namun, sedarkah kita, atas dasar apakah sebenarnya kita bersahabat dengan sahabat kita?Adakah atas dasar sebaya, atau satu sekolah, atau kerana perangai dan peribadi yang sama, atau sahabat kita dianugerahkan kelebihan pandai dalam pelajaran,atau sahabat kita seorang yang berduit? Persoalan ini mesti kita tanya pada diri sendiri. Ramai daripada kita sebenarnya bersahabat dengan sahabatnya atas salah satu dasar yang disebutkan di atas. Jika hilang kelebihan yang ada pada sahabatnya tidak mustahil sahabatnya itu akan ditinggalkan bersendirian. Persahabatan yang dibina atas dasar-dasar ini sememangnya tidak kukuh dan tidak berkekalan. Bahkan persahabatan itu berkemungkinan boleh membawa kepada permusuhan di akhirat kelak.

Oleh itu,mulai dari hari ini, binalah persahabatan dengan sahabat kita atas dasar ukhuwwah Islamiah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ayat al-Quran di atas. Bagaimana untuk mencapainya? Tentu adanya hak-hak ukhuwwah Islamiah yang mesti dijaga.

Bagi mencapai ukhuwwah Islamiah ia sebenarnya walaupun senang diungkapkan di bibir tetapi sukar untuk diperolehi dan dikecapi. Kerana bayangkan anda bersahabat dengan seseorang bukan kerana umurnya, kelebihannya, hartanya, keluarganya dan sebagainya tetapi hanya kerana semata-mata kerana Allah dan dasar akidah dan keimanan yang sama. Anda mungkin akan berkasih-sayang dengan sahabat yang tiada langsung kelebihan pada dirinya dari segi harta, pelajaran dan sebagainya tetapi kerana pegangan akidah yang sama anda tetap mengasihinya. Hal ini memerlukan kepada kefahaman, usaha, serta keikhlasan dan memakan masa untuk mencapainya.

Dalam Allah menyatakan bahawa orang yang beriman itu bersaudara, Allah telah menggariskan pula kepada kita beberapa hak dan maruah yang perlu dijaga dalam persaudaraan Islam di dalam firman-Nya:”Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka(kecurigaan), karena sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”(surah al-Hujurat,ayat 11-12)

Perkara yang saya ‘bold’kan dalam ayat di atas ialah perkara yang banyak berlaku kepada kita ketika bersahabat. Kita kadang-kadang memperlekehkan satu sama lain umpamanya akhwat memperlekehkan ikhwah dan sebaliknya, begitu juga hati kita juga tidak lekang dengan prasangka terhadap sahabat kita. Hanya kerana tidak datang usrah sekali sudah dianggap dengan bermacam-macam tanggapan. Mulut kita juga tidak lekang daripada umpatan terhadap sahabat-sahabat kita sama ada yang kita sedari ataupun tidak. Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, hal-hal ini boleh diterjemahkan dan diluahkan pula melalui penulisan dalam blog dan komen di Facebook. Hindarilah kita dari perkara ini dan segeralah beristighfar dan meminta maaf kepada sahabat kita sekiranya kita sudah terlanjur melakukannya.

Akhir sekali,saya ingin akhiri dengan satu hadis Nabi s.a.w. berkaitan dengan persaudaraan Islam dan hak-hak muslim. ”Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:’ Jangan kamu dengki-mendengki, jangan kamu meminta membeli dengan harga yang tinggi bukan dengan tujuan membelinya tetapi untuk menipu orang lain dan memudaratkan mereka, jangan kamu benci membenci, jangan kamu belakang membelakangi, janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan orang lain,dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya,tidak membohonginya dan tidak menghinanya.Takwa itu di sini-sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. Seseorang itu sudah dianggap berdosa jika dia menghina saudara seIslamnya. Tiap-tiap orang muslim itu di atas saudaranya adalah haram; darahnya, hartanya dan maruahnya.“(Riwayat Muslim)

*Setelah membaca artikel ini, sebarkanlah perkara ini kepada orang lain kerana sabda Nabi s.a.w.:"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat” (Riwayat Bukhori). Maka menjadi kewajipan kita untuk menyampaikan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada orang lain berdasarkan kemampuan masing-masing. Sabda Nabi s.a.w.:"ALLAH akan mencantikkan wajah seseorang yang mendengar daripada kami sesuatu perkara kemudian dia menyampaikannya(kepada orang lain) sebagaimana yang didengari,dan boleh jadi orang yang disampaikan perkara tersebut lebih memahami daripada orang yang mendengar”(Riwayat Tirmizi,hassan sohih). Seterusnya, amalkan perkara yang disebutkan di atas dalam kehidupan kerana amal itu buah kepada ilmu yang kita perolehi. Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah...


0 Response to "Bila Ukhuwwah Islamiah Semakin Terhakis.."

Bagaimana untuk Menjana Kewangan Persatuan?

QURAN ONLINE

DONATION

TAFSIR AL-QURAN

Click here to Download a Quran in your Language!

FACEBOOK GROUP

WAKTU SOLAT

Prayer Times Widget by Alhabib. Salat times for any place on earth.